
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 14 akaun bank membabitkan anggaran RM1.1 juta serta menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM2.5 juta susulan siasatan terhadap sindiket yang dipercayai melibatkan pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing.
- Siasatan ke atas 33 individu disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk warga asing tanpa dokumen dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.
- Operasi bersepadu SPRM di Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka membawa kepada sitaan aset.
- SPRM menahan 38 individu; 33 direman, membuka sembilan kertas siasatan; seorang pegawai penguat kuasa ditahan dan dilepaskan dengan jaminan.
Menurut sumber, 14 akaun yang dibekukan terdiri daripada lima akaun syarikat dan sembilan akaun individu.
Tindakan diambil susulan siasatan ke atas 33 individu yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk membabitkan warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.
Operasi bersepadu yang dijalankan Rabu lalu membabitkan Bahagian Perisikan SPRM bersama SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka turut membawa kepada sitaan pelbagai aset.
Sumber berkata, setakat ini SPRM telah membuka sembilan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.
“Melalui operasi bersepadu di empat negeri itu, SPRM telah melakukan sitaan aset serta membekukan akaun syarikat dan individu yang dipercayai terlibat.
“Semalam, SPRM turut menahan seorang lagi pegawai penguat kuasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, individu terbabit telah dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.
Pada Rabu lalu, SPRM menerusi Op Layer di Putrajaya, Op Dalang di Selangor, Op Raider di Negeri Sembilan dan Op Genuine di Melaka telah menahan 38 individu, manakala 33 daripadanya direman bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan perkembangan tersebut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b) dan 18 Akta SPRM 2009.