595 peket minyak masak seludup ditinggalkan dalam semak

Puluhan kotak berisi peket minyak masak ditinggalkan dalam semak/Foto PGA Briged Tenggara

PASIR MAS, 10 Julai – Sebanyak 595 peket minyak masak bersubsidi dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam Op Taring Wawasan Kelantan/Op Tiris di Kampung Lumpur, Jeram Perdah, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nilai rampasan minyak masak dianggarkan RM1,487.50.
  • Pemandu SUV memecut laju dan berjaya meloloskan diri apabila dikejar.
  • Kotak ditinggalkan dalam semak, tiada individu tuntut; rampasan diserahkan kepada KPDN untuk siasatan.

Minyak masak bersubsidi yang dipercayai ditinggalkan suspek selepas melarikan diri itu dianggarkan bernilai RM1,487.50.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi yang dijalankan kira-kira pukul 1 tengah hari itu berjaya mengesan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam keadaan mencurigakan.

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan itu bertindak memecut laju sebaik menyedari diekori sebelum berjaya meloloskan diri.

“Hasil pencarian di sekitar Kampung Lumpur dan Jeram Perdah menemukan longgokan kotak berwarna coklat yang ditinggalkan di dalam kawasan semak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota operasi menunggu kira-kira 30 minit di lokasi, namun tiada individu tampil menuntut barang berkenaan.

Semua rampasan kemudian diserahkan kepada KPDN Cawangan Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.