fb fb fb fb fb

Mekanik tidak mengaku mabuk sebabkan kematian suami isteri

Tertuduh, S. Nageshvaran, 34 (baju hitam) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memandu secara mabuk sehingga menyebabkan kematian suami isteri pada 16 November lalu/RTM

JOHOR BAHRU, 26 November- Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan memandu secara mabuk sehingga menyebabkan kematian dua individu yang merupakan suami isteri, baru-baru ini.

Tertuduh, S. Nageshvaran, 34, didakwa memandu dengan kandungan alkohol 170 miligram, melebihi had maksimum 120 miligram, sehingga menyebabkan kematian Mohamad Redzwan Mohd Rudi dan isteri, Linda Mohd A. Aziz, dalam kejadian pada pukul 4.15 pagi, 16 November lalu di persimpangan lampu isyarat Jalan Besar-Jalan Mesjid, Bandar Pasir Gudang.

Kes terbabit dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor S. Vikineswary, manakala tertuduh diwakili peguam K. Sarawanakumar.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM12,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan termasuk lapor diri dua kali sebulan, lesen memandu digantung dan pasport ditahan.

Kes disebut semula pada 14 Januari depan.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA