PERMATANG PAUH, 9 Oktober -Mayat seorang lelaki tanpa identiti yang disumbat di dalam beg ditemui berhampiran pangsapuri Ampang Jajar, di sini, petang tadi.
Penemuan itu disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Anuar Abdul Rahman.
Mayat berkenaan disedari berada di kawasan tersebut oleh seorang pekerja syarikat pembersihan pada pukul 1.43 tengah hari.
Pemeriksaan awal polis mendapati, mangsa baru dibunuh berdasarkan kecederaan yang dialami.
Mangsa dipercayai dikelar di bahagian leher dan tangan, manakala kepala turut diserkup dengan plastik serta kedua-dua tangannya diikat.
Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan perumahan itu.
Mayat dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.