BINTULU, 2 Februari- Sebuah bot nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan pada jarak lebih kurang 2.95 batu nautika Barat Tanjong Payung, Bintulu telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Mairitim Malaysia Zon Maritim Bintulu.
Tahanan dibuat pada pukul 7.20 pagi, semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Iszuadi Mohamad Hassan menerusi satu kenyataan memberitahu, semasa operasi pemantauan, sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam keadaan mencurigakan dikesan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai.
Bot tersebut juga dikesan menggunakan perlatan perikanan yang tidak dibenarkan seperti yang termaktub dalam syarat lesen.
Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati empat kru termasuk tekong lelaki warga Indonesia, berumur dalam lingkungan 27 hingga 54 tahun berada di atas bot ketika ditahan.
Kesemua kru bersama bot diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.