fb fb fb fb fb

Mahkamah Tinggi tolak permohonan badan peguam semak kehakiman DNAA Ahmad Zahid

Ahmad Zahid telah diberikan DNAA bagi kesemua 47 pertuduhan/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Jun - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Badan Peguam untuk mencabar tindakan Peguam Negara (AG) memberhentikan prosiding terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Amarjeet Singh juga menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk tiga persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berkaitan perkara yang sama.

Beliau memutuskan bahawa Badan Peguam tidak memenuhi keperluan ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA), jadi kebenaran tidak boleh diberikan kepada Badan Peguam.

“Tambahan pula, perkara itu tidak boleh diterima menerusi semakan kehakiman. AG tidak mempunyai kewajipan untuk memberikan dokumen (mengenai siasatan Ahmad Zahid) kepada Badan Peguam,” katanya dan mengarahkan Badan Peguam membayar RM10,000 sebagai kos kepada AG.

Dalam permohonan itu, Badan Peguam pada 2 Dis 2023, menamakan AG dan Timbalan Perdana Menteri sebagai responden.

Ia memohon perintah certiorari supaya keputusan AG memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid melibatkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, pada 4 Sept, dibatalkan.

Ia juga mahukan pengisytiharan mahkamah bahawa keputusan 4 Sept oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah (yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan) adalah batal dan tidak sah dan dibuat melebihi bidang kuasa yang diberikan kepada AG.

Ahmad Zahid telah diberikan DNAA bagi kesemua 47 pertuduhan, selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan AG mahu menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid untuk meneliti bukti baharu.

Peguam Steven Thiru dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan masing-masing mewakili Badan Peguam dan AG, manakala peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Ahmad Zahid. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN