fb fb fb fb fb

Lelaki warga emas dilepas tanpa dibebaskan, kes dirujuk ke AGC

Orang Kena Saman (OKS), Abdul Razak Ismail, 65, sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 19 Mac – Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) seorang lelaki warga emas atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada seorang pemuda, Ahad lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret A. Shaarmini selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa kes tersebut perlu dirujuk ke Ibu Pejabat Peguam Negara (AGC), Putrajaya.

Orang Kena Saman (OKS), Abdul Razak Ismail, 65, sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Beliau didakwa dengan sengaja mencederakan seorang lelaki berusia 21 tahun di sebuah kedai serbaneka dalam pusat beli-belah pada 16 Mac lalu, kira-kira pukul 3.45 petang.

Kes didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Abdul Razak menyatakan terdapat beberapa ketidaktepatan dalam fakta kes yang dibacakan, menyebabkan Majistret menolak pengakuan bersalah tersebut.

Kes akan dituduh semula selepas AGC selesai meneliti kertas siasatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN