fb fb fb fb fb

Lelaki mengaku salah dua pertuduhan liwat di asrama mualaf

Tertuduh, Bilal Rayyan Abdullah, 20

AYER KEROH, 29 Disember- Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sini, Melaka atas pertuduhan meliwat kanak-kanak lelaki di sebuah asrama mualaf, sejak Mei lalu.

Tertuduh, Bilal Rayyan Abdullah, 20, didakwa atas empat pertuduhan berasingan dihadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan.
 
Mengikut keempat-empat pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa persetujuan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.
 
Kesemua kesalahan itu dilakukan di bilik asrama dan tandas lelaki Kompleks Darul Huda, Balai Islam Melaka pada 14,15, 22 dan 23 Mei lepas.
 
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 30 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.
 
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh dengan mengambil kira pengakuan salahnya terhadap dua pertuduhan.
 
Raya Muhammad turut memohon tarikh baharu sementara menunggu laporan sosial memandangkan Bilal Rayyan baru berusia 20 tahun dan dua bulan.
 
Hakim Mohd Sabri menerima permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 1 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan fakta serta hukuman.

SITI AISHAH BINTI MD ISA