DUNGUN, 12 November - Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas dihempap pokok ketika sedang melakukan kerja menebang pokok di kawasan pembalakan di Hulu Paka, di sini pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Al Mukhtafi Bilah Shah, Penolong Penguasa Bomba, Noor Fadzly@Rudy Md Nor berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, kira-kira pukul 2.31 petang.
Seramai sembilan anggota bomba dan dua jentera telah dikerahkan ke tempat kejadian.
"Ketika kejadian, mangsa didapati telah dihempap sebatang pokok meranti yang dianggarkan berukuran 250 sentimeter ukur lilit pada bahagian kaki.
"Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian dan mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Noor Fadzly berkata, pihaknya menghadapi kesukaran untuk sampai di lokasi kerana faktor jalan dan keadaan cuaca hujan ketika itu.
Pasukan anggota bomba terlibat perlu menaiki jentolak dan traktor sejauh 16 kilometer selama lebih sejam untuk tiba di lokasi kejadian.