KUALA LUMPUR, 12 April - Lelaki Israel Avitan Shalom yang ditahan memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di sini bulan lepas, akan didakwa atas pertuduhan senjata api di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.
Berdasarkan semakan sistem e-kehakiman, kes itu akan didengar di Mahkamah Sesyen 12, di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin pukul 9 pagi.
Pihak media termasuk jurugambar mula berkumpul di pekarangan kompleks mahkamah KL sejak pukul 7 pagi tadi.
Warga Israel berumur 36 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini pada 27 Mac lepas. Dia dipercayai memasuki negara ini dari Emiriah Arab Bersatu pada 12 Mac, menggunakan pasport Perancis.
Hasil siasatan awal, suspek yang turut memegang pasport Israel itu mendakwa dia datang ke Malaysia bagi memburu dan membunuh seorang lagi rakyat Israel susulan perbalahan keluarga.
Pada 8 April lalu, sepasang suami isteri rakyat tempatan yang disyaki membekalkan senjata api kepada warga Israel berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas dakwaan kesalahan berkaitan senjata api.