fb fb fb fb fb

Lelaki ditahan bersama 58 kilogram daun ketum

Gambar hiasan

DUNGUN, 18 Januari - Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan di rumah sewanya di Bandar Paka di sini bersama 58 kilogram daun ketum, dipercayai untuk dijual dalam bentuk air rebusan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, berkata serbuan dilakukan selepas menerima maklumat mengenai aktiviti penjualan air ketum di kawasan tersebut.

"Pemeriksaan di lokasi menemui sebungkus plastik hitam yang dipercayai berisi daun ketum yang telah direbus, selain longgokan daun ketum dan ubat batuk.

"Siasatan awal mendapati daun ketum itu dirancang untuk dipasarkan di sekitar Bandar Paka," katanya ketika dihubungi Berita RTM.

Tambah beliau, walaupun hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah, beliau memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah.

Suspek kini direman selama empat hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Pihak polis menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang.

GRACE AISYAH KEDAYAN