fb fb fb fb fb

Lelaki ada kaitan dengan GISBH dituduh lakukan amang seksual

Muhammad Miqdam Muhammad Amir, 24, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki, dua tahun lalu.

BUTTERWORTH , 14 Oktober- Seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services And Business (GISB) Holding dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Miqdam Muhammad Amir, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai warden asrama yang mempunyai hubungan amanah terhadap kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun ketika itu, telah melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian kemaluan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah, Jalan Bagan Buaya, Nibong Tebal dekat sini pukul 12 tengah malam pada 11 Julai 2022.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan- kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta melapor diri ke balai polis sebulan sekali dan larangan mengganggu mangsa.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak.

Hakim menetapkan 14 November depan sebagai sebutan semula kes.

Pada 21 September lalu media melaporkan empat premis termasuk dua rumah jagaan yang dipercayai berkaitan GISB di sekitar Seberang Perai diserbu pihak berkuasa.

ZEHRA BINTI ZAMBRI