fb fb fb fb fb

KPWKM sedia sokongan emosi buat waris mangsa bunuh di Kuching

Nancy Shukri/RTM

KUCHING, 15 Disember- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyatakan kesediaan untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga wanita yang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan di Jalan Setia Raja dekat Tabuan Jaya di sini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan kementerian komited dalam menyediakan sokongan mental dan emosi kepada masyarakat terutama keluarga yang menghadapi situasi mencabar seperti kes terbabit.

"Kita tunggu dan biarkan 'cooling period' untuk mereka (keluarga mangsa) dahulu. Jika diperlukan, kementerian bersedia menggerakkan kaunselor untuk memberikan sokongan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan ke kediaman keluarga terbabit.

Dalam kunjungannya, beliau turut menyerahkan sumbangan khairat di bawah Parlimen Santubong dan Bantuan Pemberian Ehsan Yayasan Kebajikan Negeri kepada keluarga tersebut.

Terdahulu, kes pembunuhan terbabit mengejutkan masyarakat setempat selepas polis mengesahkan penemuan mayat hampir reput pada malam Sabtu.

Proses bedah siasat dan pengecaman identiti masih berjalan, sementara seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun telah ditahan reman sehingga 22 Disember untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA