KUCHING, 15 Disember- Mahkamah Majistret Kuching hari ini mengeluarkan perintah reman ke atas tiga lagi individu bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Jalan Sungai Tapang awal bulan ini.
Perintah reman ke atas ketiga-tiga lelaki berumur 32, 43 dan 48 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Ling Hui Chuan.
Ketiga-tiga suspek ditahan di tiga lokasi berasingan di Kuching semalam dan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuching pada pukul 9.00 pagi tadi dengan berpakaian lokap.
Ketua Polis Daerah Padawan, Penguasa Polis (SP) Mohd Irwan Hafiz Md Radzi mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan bahawa siasatan berkaitan pembunuhan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang ditemukan mati dengan kesan tetakan di pangsapuri tersebut pada 2 Disember lalu masih berjalan.
Sebelum ini, tiga lelaki lain turut ditahan reman bagi membantu kes sama. Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.