PUTRAJAYA, 25 Jun- Ahli Parlimen Muar, Syed Saadiq Syed Abdul Rahman hadir di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini bagi mendengar keputusan rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya berhubung kes pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.39 pagi ditemani ibunya.
Keputusan dijangka diumumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saadiq selaku perayu serta Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Kha, selesai berhujah di hadapan panel tiga hakim berkenaan pada 17 April lalu.
Terdahulu, pada 9 November 2023, Syed Saadiq memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM 10 juta oleh Mahkahmah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana ARMADA.