fb fb fb fb fb

Jual RON95 kepada kenderaan asing, pengusaha stesen minyak dikenakan tindakan

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar

ALOR GAJAH, 19 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka membuka satu kertas siasatan terhadap seorang pengusaha stesen minyak selepas disyaki menjual barang kawalan berjadual petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing dari negara jiran.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata tindakan diambil susulan satu video tular memaparkan seorang lelaki disyaki warga asing berusia 30-an menaiki kenderaan bernombor pendaftaran negara asing jenis Toyota Prius mengisi petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah, Ahad lalu.

"Berdasarkan video itu, hasil pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup mendapati lelaki itu membayar RM23.17 melalui transaksi terminal pembayaran luar (OPT) untuk membeli RON95 pada 4.35 petang dan mengisinya di pam minyak yang agak tersorok selepas berlegar-legar di kawasan stesen minyak itu.

"Tindakan warga asing itu ditegur seorang pemandu e-panggilan menyebabkan lelaki itu tergesa-gesa meninggalkan pam minyak terbabit manakala pengusaha stesen minyak itu pula memberi alasan tidak nampak kejadian itu kerana kedudukan pam agak terselindung," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan terhadap pengusaha stesen minyak berusia 30-an itu diambil selaras arahan dikuatkuasakan pada 17 Jun 2022, yang melibatkan larangan penjualan petrol RON95 kepada semua kenderaan termasuk motosikal bernombor pendaftaran asing.

"Kita tidak boleh terima alasan pengusaha stesen minyak itu kerana semua sedia maklum larangan berkenaan sudah dikuatkuasakan sejak 17 Jun 2022, malah terdapat notis larangan dilekatkan di setiap stesen minyak.

"Jadi pengusaha itu telah melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), " katanya.

Norena berkata jika disabit kesalahan, pengusaha stesen minyak itu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI