
KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Jabatan Imigresen (JIM) menahan 190 warga asing dan dua lelaki tempatan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Pudu, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
- Serbuan dilakukan susulan aduan gangguan ketenteraman, premis terletak hanya 10 meter dari sebuah masjid.
- Warga asing yang ditahan terdiri daripada 99 lelaki dan 91 wanita, berusia 20 hingga 41 tahun.
- Antara kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh.
- Serbuk putih disyaki dadah dan kondom ditemui, kegiatan tidak bermoral di premis disyaki; semua tahanan dibawa ke depot untuk siasatan mengikut Akta Imigresen.
Serbuan dilakukan susulan aduan orang ramai mengenai gangguan ketenteraman awam berhampiran premis yang terletak hanya 10 meter dari sebuah masjid.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Datuk Basri Othman mengesahkan warga asing yang ditahan terdiri daripada 99 lelaki dan 91 wanita berusia 20 hingga 41 tahun.
“188 merupakan warga Indonesia serta masing-masing seorang warga Bangladesh dan India, manakala dua lelaki tempatan yang ditahan dipercayai merupakan majikan dan penjaga premis berkenaan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa,” jelasnya.
Selain itu, pihak berkuasa turut menemukan serbuk putih dipercayai dadah dan kondom di dalam bilik hiburan, sekali gus tidak menolak kemungkinan berlakunya aktiviti tidak bermoral di premis tersebut.
Kesemua tahanan kini dibawa ke depot tahanan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.