fb fb fb fb fb

JKDM Johor rampas rokok, arak dan dadah bernilai RM15.2 Juta

Aminul Izmeer (tiga kanan) menunjukkan barangan yang berjaya dirampas oleh JKDM Johor dalam sidang media hari ini

JOHOR BAHRU, 29 September- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya merampas rokok dan minuman keras tidak berdaftar serta dadah dalam tiga operasi sepanjang Julai hingga Ogos dengan nilai rampasan mencecah RM15.2 juta.

Pengarahnya Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata serbuan di sekitar Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Cawangan Import, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru berjaya merampas 40,000 liter minuman keras dan 12.43 juta batang rokok bernilai RM11.7 juta.

Dalam operasi lain, sebuah beg beroda dirampas di Rengit, Batu Pahat yang mengandungi 2.9 kilogram dadah bernilai RM1.3 juta.

"Bungkusan hitam dengan tulisan 'Teh Cina', alat acuan dan vacuum sealer ditemukan yang mengandungi 14 bungkusan kecil berisi pil dan serbuk disyaki dadah.

"Ujian mendapati serbuk-serbuk itu positif methamphetamine, ketamin dan ecstasy," katanya pada sidang media di sini.

Dalam operasi ketiga, sebanyak 180 premis diperiksa yang berjaya merampas rokok dan arak tidak berdaftar dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM2.2 juta.

Seramai 75 individu terdiri daripada 39 warga tempatan dan 37 warga asing ditahan dalam ketiga-tiga operasi tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AISHAH MD ISA