fb fb fb fb fb

Insiden langgar motosikal di Sibu: Pemandu positif dadah direman

FOTO RTM

SIBU, 5 Oktober – Polis menahan seorang pemandu kereta yang disyaki melanggar sebuah motosikal di Jalan Oya berhampiran SMK St. Elizabeth, dalam kejadian yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, berkata rakaman berdurasi hampir satu minit 29 saat yang dimuat naik di laman sosial Facebook menunjukkan sebuah kereta melanggar motosikal sehingga menyebabkan penunggangnya terjatuh.

“Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Oya berhampiran SMK St. Elizabeth, di mana pemandu kereta terbabit telah bertindak melarikan diri selepas kejadian dan turut melanggar beberapa kenderaan lain di sekitar lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, susulan kejadian itu, polis berjaya menahan pemandu berkenaan bagi membantu siasatan. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun.

Selain itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sibu turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

ACP Zulkipli berkata, suspek kini direman selama lima hari bermula 10 Oktober bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” tegasnya.

Beliau turut menyeru agar masyarakat tidak menularkan sebarang maklumat tidak sahih berkaitan kejadian tersebut, dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD