fb fb fb fb fb

Imigresen Johor tahan 76 warga asing

Antara PATI yang ditahan dalam serbuan di rumah pekerja asing/ FB Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 9 Ogos- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor telah menahan 76 warga negara asing dalam serbuan di tiga daerah pada Selasa dan Rabu lalu.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan itu melibatkan pemeriksaan di 31 premis dan rumah pekerja asing.

"Di Mersing melibatkan lima buah premis termasuk rumah pekerja diperiksa dan lapan lelaki warga Indonesia berusia 23 hingga 54 tahun ditahan.

“Menerusi Ops Bersama, Ops Mahir dan Ops Sapu di Muar pula, pemeriksaan dilakukan di sembilan premis dan berjaya menahan empat lelaki Bangladesh, enam lelaki Myanmar dan dua serta tiga wanita Indonesia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara serbuan di sekitar Johor Bahru, beliau berkata melibatkan Ops Mahir, Ops Belanja, Ops Sapu dan Ops Selera di mana 17 premis diperiksa.

Jelasnya, tangkapan melibatkan 17 lelaki Bangladesh, tiga lelaki dan seorang wanita Indonesia, empat lelaki Myanmar, 25 lelaki dan seorang wanita India, seorang lelaki Pakistan serta seorang lelaki Sri Lanka.

Mohd Rusdi memberitahu, kesemua mereka berusia 20 hingga 54 tahun.

Ujarnya, mereka ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Katanya, mereka juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia selain Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa.

Beliau berkata semua tahanan kini ditempatkan di Depot Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

ZEHRA BINTI ZAMBRI