PUTRAJAYA, 23 Julai- Ibu bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain melakukan sujud syukur di luar Mahkamah Rayuan di sini selepas mahkamah menjatuhi hukuman gantung terhadap enam pembunuh anaknya.
Hawa Osman dan Zulkarnain Idros turut dilihat menitiskan air mata kerana tidak dapat menahan sebak kerana keadilan untuk anaknya akhirnya dapat ditegakkan selepas tujuh tahun.
Hari ini, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Zulfarhan.
Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Kesemua mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.
Mahkamah mendapati kelima-lima tertuduh itu secara bergilir-gilir telah menekap seterika wap pada seluruh badan si mati (Zulfarhan) termasuk kemaluannya dan Abdul Hakeem pula bersubahat menghasut dan menyuruh kelima-lima yang lain melakukan perbuatan berkenaan.
BERITA BERKAITAN