MIRI, 8 November - Polis menahan dua lelaki tempatan serta merampas dadah bernilai hampir RM2 juta dalam satu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Miri, pada Rabu lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, ketika kedua-dua suspek yang berusia 36 dan 42 tahun dipercayai membawa masuk bekalan dadah dari Semenanjung ke Miri.
Menurutnya, kedua-dua suspek menerima upah sebanyak RM5,000 untuk membawa dadah tersebut.
"Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis dadah dalam bagasi mereka seberat hampir 22 kilogram yang dianggarkan mencukupi untuk keperluan lebih 102,817 penagih di pasaran tempatan.
"Kedua-dua lelaki itu membawa dadah jenis Eramin 5 (10.83kg) ekstasi (4.1kg) dan syabu (7kg).
"Semakan juga menunjukkan salah seorang suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, ujian saringan mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine, dan benzo.
Suspek kini direman selama enam hari bermula semalam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.