
DUNGUN, 4 Julai- Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari jambatan Sungai Paka di Jalan Jabor–Paka berhampiran Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini semalam, ditemukan lemas pagi tadi.
- Mangsa dipercayai terjatuh dari jambatan setinggi kira-kira 45 meter.
- Mayat ditemukan tersangkut pada ranting kayu terapung kira-kira 200 meter dari lokasi jatuh.
- Operasi SAR disambung semula pada 9 pagi selepas ditangguhkan pada 7 malam, melibatkan 38 anggota dan bantuan orang awam.
- Mayat dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat; bapa mangsa kecewa tetapi bersyukur selepas operasi kira-kira 24 jam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata mayat Nor Haslini Din, 47, yang merupakan OKU mental ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat pada kira-kira 10.30 pagi.
Beliau berkata mangsa dipercayai terjatuh dari jambatan berkenaan pada ketinggian kira-kira 45 meter sekitar 10.30 pagi semalam.
Nik Ab Halim berkata mayat mangsa ditemukan tersangkut pada ranting kayu dalam keadaan terapung kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula kira-kira 9 pagi tadi selepas ditangguhkan pada 7.00 malam semalam.
Katanya, operasi berkenaan melibatkan 38 anggota daripada pelbagai agensi termasuk bantuan orang awam.
Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, bapa mangsa, Din Zakaria, 77, berkata beliau terkilan kerana gagal menyelamatkan anak perempuannya yang terjatuh dari jambatan berhampiran rumah mereka.
Beliau berkata sebaik melihat kejadian itu, beliau bergegas ke lokasi, namun mangsa sudah terjatuh.
Bagaimanapun beliau bersyukur mayat anaknya ditemukan selepas operasi SAR dijalankan selama kira-kira 24 jam.