fb fb fb fb fb

Diperdaya sindiket 'Phone Scam', suri rumah kerugian RM181,650

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

TAIPING, 25 Februari - Seorang suri rumah kerugian lebih RM181,000 selepas diperdaya sindiket 'Phone Scam', di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada 21 Februari lalu, yang mengaku sebagai pekerja syarikat penghantaran di Kuantan, Pahang.

Mangsa dimaklumkan telah menghantar beberapa barang ke Kuantan iaitu tiga kad pengenalan, tiga passport dan dua kad ATM.

"Mangsa yang menafikan perkara tersebut kemudian diperdaya seorang suspek yang mengaku sebagai pegawai polis di Ibu Pejabat Polis (IPK) Pahang dan memaklumkan mangsa terlibat dengan penggubalan wang haram," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Mohd Yusri, suspek kemudian meminta mangsa memindahkan wang simpanannya ke dalam akaun bank yang telah diberikan suspek bagi tujuan siasatan.

Akibat ketakutan mangsa telah melakukan 20 transaksi pindahan wang ke empat akaun bank berbeza melibatkan jumlah sebanyak RM181,650.

Menyedari ditipu, mangsa seterusnya membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN