fb fb fb fb fb

Didakwa bunuh kanak-kanak tiga tahun, pengasuh menangis diheret ke mahkamah

Nur Nabilah Sekh Ruslan yang digari menangis teresak-esak ketika dibawa ke mahkamah hari ini/Foto Bernama

KUANTAN, 12 Mac - Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana didakwa membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di bawah jagaannya, bulan lalu.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ellyna Othman, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Nur Nabilah Sekh Ruslan, 32 tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, pengasuh terbabit didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Siti Umairah Tiara Muhammad Naim, 3 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 6.00 petang hingga 8.00 malam pada 17 Februari lalu di sebuah rumah di Perumahan Bukit Rangin, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Terdahulu, pengasuh yang diiringi polis itu menangis teresak-esak ketika dibawa ke mahkamah hari ini. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Abdul Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 15 Mei depan sementara menunggu laporan forensik dan dokumen berkaitan.

Pada 27 Feb lepas, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada 20 Feb lepas dipercayai akibat didera.

Pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada kedua-dua belah tangan dan kaki mangsa.

Enam individu berusia lingkungan 17 hingga 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN