fb fb fb fb fb

Bicara kes bunuh Bella ditangguh

Tertuduh diiringi ketat polis setibanya di mahkamah

JOHOR BAHRU, 19 Februari- Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, menangguh perbicaraan kes terhadap teman lelaki Mila Sharmilah Samsusah, atau Bella, kepada 11 Mac depan. 

Tempoh lanjutan itu diputuskan Majistret Suhaila Shafi'uddin, sementara menunggu laporan forensik bagi membolehkan kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Tinggi Muar.

Tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 25 tahun, didakwa membunuh Bella antara 11 malam, 14 Disember hingga 5.30 pagi, pada 15 Disember, tahun lepas. 

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga ke sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah, Batu Pahat. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati jika, sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh pula, diwakili peguam Syahril Anuar. 

Peguam pemerhati, Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor, yang mewakili keluarga mangsa, turut hadir dalam prosiding perbicaraan tersebut.

Terdahulu, pekarangan mahkamah berkenaan dipenuhi kehadiran orang ramai yang mengikuti perkembangan terkini sebutan semula kes pembunuhan Bella.

Turut kelihatan kakak dan ibu Bella, bersama  ahli keluarga lain, yang menanti perbicaraan kes bermula selepas tertuduh tiba pada pukul 8.10 pagi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE