fb fb fb fb fb

Bekas pengarah syarikat didakwa salah guna kereta Mercedes Benz

Foto RTM

BUKIT MERTAJAM, 27 Februari- Bekas Pengarah sebuah syarikat import bahan mentah didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat dua tahun lalu.

Tertuduh, Ng Chiang Chong,61 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, Chiang Chong curangnya menyalahgunakan harta iaitu kereta jenis Mercedes Benz GLC 300 Coupe milik syarikat Heap Lee Chan Trading Company Sdn Bhd.

Kesalahan berkenaan dilakukannya di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  Seberang Jaya pada 3 Oktober 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya manakala tertuduh diwakili peguam, Martin Khoo.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 2 April depan untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD