HULU SELANGOR, 17 Julai- Polis meneruskan operasi pencarian di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, di sini bagi mengesan baki barangan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, selepas satu telefon pintar dipercayai milik mangsa ditemukan hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata, operasi berkenaan akan diteruskan oleh Unit Anjing Pengesan PDRM (K9) Negeri Selangor.
"Pagi ini kami berjaya menemukan satu telefon pintar dipercayai kepunyaan mangsa.
"Kawasan ini masih dikawal, sehingga pasukan polis berpuas hati dengan semua barang yang ditemui... baru kita akan 'release' kan tempat kejadian ini," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Hussein berkata, pihaknya juga akan melakukan pencarian di satu lagi kawasan kira-kira 20 minit dari ladang berkenaan.
Terdahulu, Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan telefon pintar dalam operasi mencari bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini di sebuah parit di ladang tersebut.
Mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang kira-kira 6 petang, pada Isnin selepas dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Susulan itu, seorang lelaki, 26, yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak kini direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.