Peniaga perlu belajar daripada kejayaan Khairul Aming

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Manfaatkan identiti dan cerita produk untuk bina kesetiaan pelanggan seperti Khairul Aming.
  • Fahami teknologi digital, pengguna kini membandingkan, menilai dan membuat keputusan dengan pantas.
  • Jangan berlawan hanya pada harga, cipta keunikan, nilai dan pengalaman supaya perniagaan kekal bersaing.

Pasaran e-dagang Malaysia terus berkembang dan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian pengguna. Menurut BluePeak Consultant, pasaran e-dagang Malaysia dijangka melepasi RM50 bilion pada 2026.

Perkembangan ini menunjukkan semakin ramai pengguna kini membuat pembelian dan keputusan pembelian melalui platform e-dagang.

Hari ini, pengguna mempunyai lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini. Dengan hanya menggunakan telefon pintar, mereka boleh melihat sesuatu produk, membandingkan harga, membaca ulasan pengguna, dan memilih platform yang menawarkan nilai terbaik.

Dalam teori pemasaran, proses keputusan pembelian pengguna lazimnya melalui beberapa peringkat, antaranya mengenal pasti keperluan, mencari maklumat, menilai alternatif, membuat keputusan pembelian dan akhirnya menilai pengalaman selepas pembelian sama ada berpuas hati atau sebaliknya.

Proses asas ini masih relevan, tetapi perkembangan teknologi digital telah mengubah cara pengguna melalui setiap peringkat tersebut. Perubahan paling ketara dapat dilihat ketika pengguna menilai alternatif produk atau perkhidmatan.

Teknologi Mengubah Cara Pengguna Membuat Keputusan

Dahulu, seseorang yang ingin membeli sesuatu produk, perlu pergi ke kedai untuk melihat pilihan yang tersedia.

Jika ingin membandingkan harga dengan kedai lain, mereka perlu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Proses tersebut memerlukan masa dan tenaga.

Hari ini, keadaan sudah jauh berbeza.

Teknologi telah menjadikan proses mencari maklumat, menilai alternatif pilihan dan membuat keputusan lebih mudah serta pantas. Dalam beberapa minit sahaja, pengguna boleh membandingkan pelbagai produk, harga dan ulasan daripada penjual yang berbeza.

Peniaga tidak lagi boleh berharap pelanggan akan terus membeli hanya kerana telah melihat iklan mereka.

Ini membawa kepada satu realiti yang perlu difahami oleh setiap peniaga, iaitu pelanggan kini mempunyai kuasa yang lebih besar dalam membuat pilihan.

Mengapa Pelanggan Perlu Memilih Produk Kita?

Dalam keadaan persaingan yang semakin sengit ini, peniaga perlu bertanya kepada diri sendiri satu persoalan penting: “Apakah sebab pelanggan perlu memilih produk saya berbanding puluhan pilihan lain yang tersedia?”

Jawapan kepada persoalan ini boleh dilihat melalui kejayaan usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming.

Khairul Aming tidak sekadar menggunakan media sosial untuk menjual produk. Beliau berjaya membina produk dan jenama yang mempunyai identiti tersendiri.

Melalui Sambal Nyet yang diperkenalkan pada tahun 2021, beliau mengetengahkan produknya sebagai produk keluaran tempatan, yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan Kelantan, sekali gus membina identiti yang dekat dengan asal usul dan cita rasa tempatan.

Dalam pasaran yang dipenuhi pelbagai jenama sambal dan produk makanan, pengguna sebenarnya mempunyai banyak pilihan lain. Namun, Khairul Aming berjaya membina sebab, mengapa pengguna perlu memilih dan setia kepada produknya.

Tidak hairanlah beliau berjaya menjana jualan sebanyak RM4.4 juta menerusi sesi jualan strim langsung selama hanya beberapa jam di TikTok baru-baru ini, menurut laporan The Vocket pada 10 September lalu.

Cari Keunikan, Bukan Sekadar Harga Murah

Sudah tentu, tidak semua peniaga perlu menghasilkan sambal atau membina jenama seperti Khairul Aming. Namun, terdapat pengajaran penting yang boleh diambil daripada kejayaannya.

Peniaga perlu mencari apa yang menjadikan produk atau perniagaan mereka berbeza dan unik.

Jika sesuatu produk terlalu mudah didapati dan terlalu mudah ditiru, peniaga mungkin akhirnya terperangkap dalam persaingan harga.

Bagi peniaga kecil dan sederhana, strategi untuk sentiasa menawarkan harga paling murah bukan sesuatu yang mudah untuk dikekalkan. Margin keuntungan semakin kecil, kos operasi meningkat dan pesaing sentiasa boleh menawarkan harga yang lebih rendah.

Sebaliknya, peniaga perlu membina keunikan lain yang boleh menjadikan produk atau perkhidmatan mereka terus menjadi pilihan pengguna.

Kisah Khairul Aming menunjukkan bahawa produk yang baik perlu disokong dengan identiti, cerita, nilai dan pengalaman yang mampu mendekatkan jenama dengan pengguna.

Tidak semua peniaga perlu mengikut cara yang sama, tetapi setiap peniaga perlu mencari kekuatan yang menjadikan perniagaan mereka berbeza dan lebih bermakna kepada pelanggan.

Dalam dunia perniagaan yang semakin sengit, jangan hanya berusaha untuk mendapatkan pelanggan, tetapi berusahalah untuk memberikan mereka alasan yang kukuh untuk terus memilih produk atau perkhidmatan anda.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Muhamad Izaidi bin Ishak
Pensyarah Kanan
Fakulti Perniagaan dan Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
E-mel:izaidi@unimap.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.