GEORGETOWN, 4 September - Tiga doktor kanan antara 33 individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pulau Pinang.
Dua doktor itu bertugas di dua hospital milik kerajaan, manakala seorang lagi di sebuah hospital swasta.
Doktor yang dikatakan terbabit dalam kartel penipuan itu dipercayai mampu meraih pendapatan sehingga RM10,000 bagi setiap tuntutan palsu yang dikemukakan.
Penahanan kesemua mereka hasil operasi yang dijalankan di negeri itu bermula pukul 5 pagi hingga 9 malam semalam.
Suspek berusia 26 hingga 60 tahun ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang selepas diambil keterangan.
Ketiga-tiga doktor berkenaan merupakan pakar tulang manakala 30 individu lain terdiri daripada 19 pemohon tuntutan, lapan ejen dan tiga 'runner'.
Mereka dibawa ke Mahkamah Majistret George Town di sini, hari ini untuk permohonan perintah reman.
Perintah reman antara satu hingga tiga hari dikeluarkan oleh Majistret Nadratul Naim Mohd. Saidi.