fb fb fb fb fb

20 warga asing ditahan, 8 premis diserbu

Anggota KPDN dan JIM menjalankan pemeriksaan dalam operasi bersepadu Op Kita Gempur di sekitar Brickfields, malam tadi/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 April – Seramai 20 warga asing ditahan dalam satu serbuan ke atas lapan premis perniagaan yang disyaki menjalankan aktiviti penjualan barang kawalan dan gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen sah yang dijalankan ke atas beberapa premis perniagaan runcit di sekitar Brickfields, malam tadi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, kesemua warga asing yang ditahan merupakan warganegara Bangladesh dan Pakistan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis-premis terbabit beroperasi tanpa permit sah dan pihaknya telah menyita barang kawalan seperti LPG, minyak masak, gula dan tepung dengan nilai sitaan keseluruhan sebanyak RM5,500.

“Keseluruhan rampasan di bawah bidang kuasa KPDN hari ini melibatkan sitaan barang kawalan seperti gula, minyak masak, tepung dan LPG. Premis ini telah menjalankan perniagaan tanpa lesen atau permit yang sah,” katanya kepada media selepas Operasi Bersepadu Kita Gempur di sini malam tadi.

Tambah beliau, empat kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Operasi itu turut melibatkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Dalam pada itu, DBKL bertindak menutup empat premis, mengeluarkan tujuh notis kompaun dan empat notis penutupan premis, manakala JIM menahan kesemua warga asing terbabit kerana mengendalikan premis tanpa dokumen sah.

Menurut Mohd Shahran, serbuan itu dilakukan susulan video tular di media sosial yang memaparkan premis-premis berkenaan dikendalikan warga asing, serta tidak mempamerkan tanda harga dan menjual barang kawalan secara terbuka.

“Kita bertindak berdasarkan maklumat daripada video tular yang menimbulkan kegusaran orang ramai. Kerjasama antara agensi penguat kuasa penting bagi memastikan kegiatan ini tidak berleluasa,” jelas beliau.

GRACE AISYAH KEDAYAN