fb fb fb fb fb

15 individu ditahan, terlibat penipuan dalam talian

88 telefon bimbit pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM80,000 dirampas

PULAU PANGKOR, 23 Februari- Polis menahan 15 individu disyaki terlibat sindiket pusat panggilan penipuan pekerjaan di sebuah rumah di sini pada Jumaat lalu menerusi operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPK Perak dan IPD Manjung dibantu Balai Polis Pulau Pangkor.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dalam satu kenyataan memaklumkan, sindiket yang menyasarkan mangsa dari negara China itu ditahan kira-kira pukul 9.45 malam.

"13 individu termasuk seorang wanita yang ditahan merupakan warganegara China berusia 26 hingga 41 tahun .

"Turut ditahan dua rakyat tempatan masing-masing berusia 61 dan 63 tahun yang merupakan pasangan suami isteri," menurut kenyataan itu.

Kesemua ahli sindiket berperanan sebagai pencari pelanggan dan menawarkan pekerjaan secara dalam talian.

Kemudian mangsa dikehendaki untuk melengkapkan tugasan pembelian barangan bagi meningkatkan rating barangan tersebut.

Mangsa juga dijanjikan bayaran bagi setiap tugasan yang diselesaikan namun keuntungan tersebut tidak diperolehi.

Operasi berkenaan turut merampas 12 komputer riba, enam modem Wi-fi dan 88 telefon bimbit pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM80,000.

Kesemua suspek direman empat hari hingga 25 Februari bagi membantu siasatan bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120(b) kanun keseksaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI