fb fb fb fb fb

126 diperiksa, 24 ditahan dalam operasi khas PDRM di Kuantan

Kenyataan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah.

KUANTAN, 29 Ogos - Seramai 24 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang, atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas bersepadu pencegahan jenayah dan pendatang asing tanpa izin (PATI), di kawasan premis perniagaan Taman Golden City, Jalan Bukit Ubi di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, operasi yang bermula pukul 7.00 malam itu melibatkan 93 pegawai dan anggota dengan pemeriksaan ke atas 126 individu.

“Daripada jumlah tersebut, 18 ditahan atas kesalahan imigresen, lima berkaitan dadah, manakala seorang kerana memiliki rokok tidak bercukai. Seramai 102 lagi dibebaskan selepas dokumentasi kerana memiliki dokumen sah atau tidak terlibat dalam sebarang kesalahan,” katanya.

Beliau menjelaskan, tiga kumpulan serbuan digerakkan di beberapa lokasi tumpuan termasuk pasar raya, premis kedai makan serta kawasan sekitar.

Semua tangkapan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Dadah Berbahaya 1952 serta undang-undang berkaitan.

Polis Pahang tegas mempergiat operasi seumpama itu bagi membanteras jenayah, mengekang aktiviti PATI serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-565 2222 atau melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

TUN JULIA MOHD TAHIR