SYDNEY, 17 Julai- Kumpulan Komedi Rock Tenacious D yang dianggotai pelakon Jack Black dan Kyle Gass menggantung konsert Jelajah Australia selepas komen dibuat oleh Gass berhubung percubaan bunuh terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Sebuah video yang dikongsikan di laman sosial media daripada konsert kumpulan berkenaan di sini pada Ahad lalu menunjukkan salah seorang anggota kumpulan Tenacious D,Gass dihadiahkan sebiji kek harijadi dan Black memintanya untuk memohon hajat. Gass kemudiannya berkata "Jangan lupakan Trump lain kali" sebelum meniup lilin.
Trump ditembak di bahagian telinga ketika sedang mengadakan kempen di Pennsylvania pada Sabtu. Pihak FBI mendakwa ia merupakan percubaan bunuh terhadap Trump. Bekas Presiden AS itu dilihat menghadiri Konvensyen Kebangsaan Parti Republik dengan telinga kanan berbalut.
Gass pada Selasa meminta maaf di atas perbuatannya di Instagram dan berkata komen yang ducapkannya tidak wajar, salah dan berbahaya. Sementara itu, Black pula berkata dia terlepas pandang berhubung komen tersebut dan dia tidak sesekali membenarkan ucapan kebencian atau menggalakkan keganasan politik dalam apa jua bentuk.
"Selepas bermuhasabah, saya tidak lagi rasa sesuai untuk meneruskan jelajah Tenacious D, dan semua rancangan kreatif masa depan ditangguhkan," kata Black.
Tenacious D diasaskan pada 1994 oleh Gass dan Black ketika kedua-duanya sedang melakukan persembahan di bar-bar tempatan. Persembahan kumpulan tersebut yang dijadualkan di Newcastle pada Selasa turut ditangguhkan.
Kumpulan berkenaan turut dijadualkan mengadakakan persembahan di Brisbane, Melbourne dan Adelaide sebelum ke New Zealand sebelum konsert berkenaan dibatalkan.-REUTERS