RTM perkasa industri kreatif India tempatan menerusi MINNAL FM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi MINNAL FM melancarkan Program Pemerkasaan Industri Kreatif India Tempatan bagi memperkukuh ekosistem industri kreatif masyarakat India di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program menghimpunkan penggiat seni dan agensi kerajaan untuk memperluas akses maklumat, latihan, pembiayaan serta inisiatif pembangunan industri kreatif.
  • MINNAL FM menggalakkan penggiat menghasilkan lebih banyak karya tempatan, khususnya lagu bahasa Tamil, untuk disiarkan menerusi platformnya.
  • Agensi terlibat termasuk Malaysia Creative Ventures, FINAS, MyIPO dan IPPTAR menawarkan sokongan dan akses kepada sumber industri kreatif.
  • Kerjasama itu dijangka menjadi pemangkin pembangunan bakat tempatan serta mengukuhkan peranan MINNAL FM sebagai platform penyokong kandungan kreatif.

Program itu menghimpunkan penggiat seni bersama agensi kerajaan bagi memperluas akses kepada maklumat, latihan, pembiayaan dan pelbagai inisiatif pembangunan industri kreatif.

Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop berkata, MINNAL FM berharap lebih ramai penggiat seni menghasilkan karya tempatan, khususnya lagu dalam bahasa Tamil, untuk dipasarkan menerusi platform penyiaran itu.

“Kami berharap penggiat industri muzik India tempatan dapat menghasilkan lebih banyak karya, khususnya lagu dalam bahasa Tamil untuk disiarkan di MINNAL FM yang menjadi platform penyiaran karya kreatif tempatan.”

“Pada masa sama, program ini memberi pendedahan mengenai peluang dan kemudahan yang disediakan kepada penggiat industri kreatif. MINNAL FM sentiasa bersedia menerima karya tempatan yang memenuhi garis panduan penyiaran.”

Beliau berkata demikian pada Program Pemerkasaan Industri Kreatif Artis India Tempatan dan Majlis Peluncuran Lagu MINNAL FM di sini, hari ini.

Antara agensi yang menyertai program itu ialah Malaysia Creative Ventures (MyCV), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

Sementara itu, Pengurus MINNAL FM, Kumaran Subramaniam berkata, kerjasama dengan pelbagai agensi memberi peluang kepada penggiat seni tempatan memahami kemudahan yang disediakan bagi membangunkan kandungan kreatif.

“Program ini merupakan inisiatif tambahan hasil kerjasama dengan pelbagai agensi bagi membantu artis tempatan memahami peluang dan kemudahan yang disediakan untuk pembangunan kandungan kreatif.”

“Melalui usaha ini, MINNAL FM juga akan menerima lebih banyak kandungan baharu, khususnya muzik Tamil tempatan yang dihasilkan dengan sokongan agensi berkaitan.”

Program berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif India tempatan, sekali gus mengukuhkan peranan MINNAL FM sebagai platform yang menyokong pertumbuhan bakat serta penghasilan kandungan kreatif tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.