
KUALA LUMPUR, 25 Julai – Citrawarna Malaysia 2026 menjadi platform menyemai minat generasi muda terhadap seni, budaya dan warisan negara menerusi pelbagai aktiviti interaktif yang memberi peluang kepada kanak-kanak serta belia mempelajari sendiri amalan tradisi pelbagai kaum.
- Segmen Citra Seni dan Citra Budaya menawarkan aktiviti interaktif seperti mencanting batik, menganyam ketupat dan melipat tengkolok bersama penggiat.
- Citra Rasa menghimpunkan vendor tradisional dari pelbagai negeri dengan demonstrasi makanan seperti dodol, mochi, kuih bulan dan teh tarik.
- Aktiviti interaktif membolehkan kanak-kanak dan belia berinteraksi langsung dengan penggiat serta memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya Malaysia.
Berlangsung di Dataran Merdeka sempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026), program bertemakan “Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa” itu menghimpunkan pelbagai pengisian menerusi empat segmen utama iaitu Citra Perarakan (Colours of Parade), Citra Rasa (Colours of Flavour), Citra Budaya (Colours of Culture) dan Citra Seni (Colours of Art).
Menerusi segmen Citra Seni dan Citra Budaya, pengunjung bukan sahaja berpeluang menyaksikan demonstrasi, malah mencuba sendiri aktiviti seperti mencanting batik, menganyam ketupat dan melipat tengkolok bersama penggiat seni tempatan, sekali gus memberi pendedahan secara langsung terhadap warisan budaya negara.
Salah seorang pengunjung, Noraqila Zafirah Idris, berkata pengalaman mencanting batik buat kali pertama memberi pendedahan kepada teknik pewarnaan yang unik dan memerlukan kreativiti dalam menggabungkan warna.
“Hari ini saya mewarna batik dengan menggunakan corak bunga… kena guna sedikit warna, kemudian celup air dan pandai bermain dengan warna,” katanya.
Manakala adiknya, Aimi Husna Idris, berpendapat program seumpama itu wajar diteruskan kerana mampu mendekatkan generasi muda dengan warisan budaya negara.
“Anak-anak muda boleh terdedah dengan warisan budaya dan mereka dapat kenal dengan lebih dekat kalau ada program-program seperti ini,” katanya.
Selain seni kraf, segmen Citra Rasa menghimpunkan kira-kira 30 vendor yang menampilkan sajian tradisional mewakili 14 negeri, dari Perlis hingga Sabah dan Sarawak.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi penyediaan pelbagai makanan tradisi termasuk dodol, murukku, kuih bulan, mochi dan teh tarik, sekali gus memperkenalkan keunikan warisan kulinari masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Pengusaha makanan tradisional Melayu, Mohd Asri Mat Doa, berkata demonstrasi penyediaan dodol mendapat sambutan menggalakkan apabila ramai pengunjung mengambil peluang merakam video dan bertanya mengenai proses pembuatannya.
“Alhamdulillah, bila kita buat demonstrasi ramai yang datang melihat, mencuba dan merakam video. Saya harap mereka akan lebih berminat mengenali warisan dodol ini,” katanya.
Bagi pengusaha makanan masyarakat Cina, Lee Shu Yi, sambutan terhadap demonstrasi penyediaan mochi juga amat memberangsangkan, selain memberi peluang kepada orang ramai mengenali kuih tradisional berasaskan pulut yang menjadi sebahagian daripada warisan masyarakat Cina.
“Hari ini ramai yang berminat dengan kuih mochi. Ia merupakan salah satu kuih tradisional masyarakat Cina yang diperbuat daripada pulut, kacang dan gula,” katanya.
Sementara itu, pengusaha makanan masyarakat India, Nur Sabrina Moamed Sidique, berkata penyertaan dalam Citrawarna menjadi platform memperkenalkan tradisi masyarakat India kepada orang ramai.
“Kami mahu membawa dan memperkenalkan tradisi kami yang turut menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia,” katanya.
Pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan sepanjang penganjuran membolehkan pengunjung, khususnya kanak-kanak dan belia, berinteraksi secara langsung dengan penggiat seni dan pengusaha makanan tradisional, sekali gus memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya Malaysia.
Sejak diperkenalkan pada 1999, Citrawarna kekal sebagai antara produk pelancongan budaya utama negara dalam mempromosikan seni, budaya dan warisan Malaysia kepada pelawat domestik serta antarabangsa, di samping menyokong usaha memperkukuh sektor pelancongan menerusi kempen Visit Malaysia 2026.