
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Penghasilan produk berkualiti menjadi faktor utama dalam memastikan jenama fesyen tempatan kekal berdaya saing serta terus mendapat kepercayaan pengguna di pasaran domestik dan antarabangsa.
- Teknologi digital membuka peluang pengembangan jenama dan memperluas capaian pasaran pereka fesyen tempatan.
- Penggunaan fabrik tempatan yang diolah secara moden meningkatkan nilai produk dan menarik minat pasaran global, terutamanya batik.
- Fokus pada fesyen lestari, termasuk linen dan pewarna semula jadi, membantu memperkenalkan produk Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Presiden Persatuan Pereka Bumiputra Malaysia (MBDA), Bon Zainal Harun berkata, persaingan industri fesyen kini lebih tertumpu kepada aspek kualiti berbanding kuantiti, selaras dengan perubahan cita rasa pengguna yang semakin mengutamakan mutu dan nilai sesuatu produk.
Menurut beliau, perkembangan teknologi digital turut membuka lebih banyak peluang kepada pereka fesyen tempatan mengembangkan jenama masing-masing sekali gus memperluaskan capaian pasaran.
“Persaingan dalam industri fesyen hari ini lebih tertumpu kepada kualiti. Pengguna kini semakin mementingkan mutu sesuatu produk dan kita perlu membina keyakinan pembeli terhadap jenama tempatan, di samping menyemai rasa bangga terhadap jenama Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM selepas MBDA Runway Presentation – Kuala Lumpur Men’s Fashion Week 2026, di sini.
Sementara itu, pereka fesyen tempatan berpandangan industri fesyen negara mempunyai potensi besar untuk terus berkembang menerusi penghasilan rekaan kreatif yang mengangkat identiti tempatan.
Pereka fesyen, Rasta Rashid berkata, penggunaan fabrik tempatan yang diolah dengan sentuhan moden dan kontemporari mampu meningkatkan nilai produk serta menarik minat pasaran yang lebih luas.
“Kami mengangkat fabrik tempatan menerusi rekaan yang lebih moden dan kontemporari. Dengan Tahun Melawat Malaysia, kami berharap batik dan tekstil Malaysia dapat diperkenalkan ke pasaran global yang lebih besar,” katanya.
Seorang lagi pereka fesyen, Amir Harith Mat Kashim berkata, beliau komited memperkasakan batik tempatan menerusi penghasilan rekaan baharu bagi meningkatkan pengiktirafannya di dalam dan luar negara.
“Kami mahu melihat batik Malaysia mencapai pengiktirafan pada peringkat tertinggi. Justeru, kami akan terus menghasilkan rekaan baharu bagi memberi nafas segar kepada warisan itu,” katanya.
Bagi Kalaivani Kuppusamy pula, beliau mahu memperkenalkan produk fesyen Malaysia ke peringkat antarabangsa menerusi koleksi berasaskan linen yang menekankan elemen kelestarian dan penggunaan pewarna semula jadi.
“Inspirasi saya adalah membawa produk Malaysia ke pasaran global melalui koleksi yang menampilkan fabrik linen serta konsep fesyen lestari menggunakan pewarna semula jadi,” katanya.