Royal Sembilan lancar butik utama, angkat warisan Diraja Negeri Sembilan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Rumah fesyen mewah tempatan, Royal Sembilan terus mengorak langkah apabila melancarkan butik utamanya, sekali gus memperkukuh usaha mengangkat warisan Diraja Negeri Sembilan menerusi rekaan kontemporari yang eksklusif dan sofistikated.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tunku Puteri Jawahir terus memelihara warisan Negeri Sembilan melalui rumah fesyen mewah, mengekalkan semangat berkarya pada usia 74.
  • Anuar Faizal sebagai Pengarah Kreatif mentafsir semula warisan Diraja dengan pendekatan moden dan visi kreatif yang jelas.
  • Gabungan ketukangan tradisional, teknik tekstil inovatif dan motif Bungolado menghasilkan koleksi elegan beridentiti dan terinspirasi budaya Negeri Sembilan.
  • Butik utama direka sebagai destinasi gaya hidup, menggabungkan fesyen, seni dan budaya, lengkap dengan dalaman dikurasi dan sesi pratonton eksklusif.

Pada usia 74 tahun, pengasasnya Tunku Puteri Puan Sri Datuk Seri Jawahir Almarhum Tuanku Ja’afar membuktikan bahawa semangat berkarya tidak pernah pudar apabila terus menerajui usaha memelihara warisan negeri melalui dunia fesyen.

Inisiatif tersebut menterjemahkan pengalaman dan pengetahuan budaya diraja kepada sebuah rumah fesyen mewah yang kekal relevan dengan cita rasa masa kini.

Foto RTM

Menerajui hala tuju kreatif jenama berkenaan ialah Pengarah Kreatif, Anuar Faizal yang memainkan peranan penting dalam mentafsir semula warisan Diraja Negeri Sembilan melalui pendekatan moden.

Gabungan ketukangan tradisional, naratif budaya dan teknik tekstil inovatif menjadikan setiap koleksi tampil elegan serta beridentiti tersendiri.

Royal Sembilan menampilkan koleksi sedia dipakai dan tempahan khas yang diinspirasikan daripada landskap serta budaya Negeri Sembilan.

Motif Bungolado, bunga rasmi negeri itu, turut diangkat sebagai elemen utama dalam rekaan yang menggabungkan siluet moden, fabrik mewah dan palet warna sofistikated.

Lebih daripada sekadar ruang peruncitan, butik utama Royal Sembilan direka sebagai destinasi gaya hidup yang menggabungkan elemen fesyen, seni dan budaya dalam satu pengalaman menyeluruh, sekali gus mengajak pengunjung menyelami kisah di sebalik setiap rekaan.

Rekaan dalaman butik turut dikurasi dengan teliti, menampilkan elemen seni bina elegan serta perincian halus yang mencerminkan nilai ketukangan dan kemewahan bersahaja.

Pengunjung turut berpeluang memahami inspirasi serta proses kreatif di sebalik setiap hasil rekaan menerusi sesi pratonton eksklusif yang diadakan selepas pelancaran.

Butik tersebut dirasmikan oleh Tunku Puteri Jawahir bersama kakanda baginda, Yang Amat Mulia Tunku Dara Tunku Tan Sri Naquiah Almarhum Tuanku Ja’afar dalam satu majlis penuh elegan yang dihadiri kerabat diraja, tokoh industri serta penggiat fesyen tanah air.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran selebriti terkenal termasuk pelakon Tiz Zaqyah, penyanyi serantau Winnie K, penyanyi dan pelakon Layla Sania serta personaliti televisyen Azura Zainal.

Turut berangkat dan hadir, Tuanku Sultanah Kalsom Abdullah, Tengku Asra, Tengku Alana serta Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Waleed Alkurdi Taib, sekali gus menyerlahkan kepentingan acara itu dalam memartabatkan warisan budaya melalui platform fesyen moden.

Pembukaan butik utama ini bukan sahaja menandakan perkembangan jenama, malah menjadi simbol bagaimana tradisi dan inovasi mampu bergerak seiring dalam memastikan warisan terus hidup, relevan dan dihargai generasi masa kini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.