KUALA LUMPUR, 18 Januari - Penyanyi perlu melengkapkan kemahiran kendiri mereka ketika berdepan dengan media untuk membina kekuatan jenama sendiri, kata Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Suhaimi berkata dengan memiliki kemahiran berdepan dengan wartawan akan memberi situasi 'menang-menang' buat kedua-dua pihak.
"Kita bercakap tentang 'personal brand' untuk mereka membina jenama masing-masing, jadi setiap penyanyi mempunyai personal brand yang berbeza dan apakah kekuatan mereka itu yang harus ditonjolkan ketika mereka bertemu dengan media," katanya yang berkongsi strategi itu kepada 14 peserta Bintang RTM 2024 di Angkasapuri hari ini.
Suhaimi mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyiaran dan kewartawanan berkata, setiap peserta mempunyai keunikan masing-masing untuk ditonjolkan.
"Paling penting, setiap minggu mereka belajar kemahiran yang baharu, jadi jangan berhenti untuk belajar perkara-perkara baharu yang akan membantu dalam kerjaya," tambahnya.
Sabtu lalu, seramai 14 peserta program realiti Bintang RTM 2024 menonjolkan kehebatan vokal masing-masing di pentas nyanyian itu di Auditorium Sri Angkasa.
Peserta dari Sarawak, Roziena Ixzy, 26, dipilih penyanyi terbaik bagi minggu pertama konsert Bintang RTM 2024 dan tidak melibatkan sebarang penyingkiran peserta.
Bintang RTM telah melahirkan ramai nama-nama besar dalam industri seni hiburan seperti Dahlan Zainuddin, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Yunizar Hussein, Jamal Abdillah, Najib Hanif, Rohana Jalil dan Juliza Adlizan.
BERITA BERKAITAN:
- Bintang RTM 2024: Tiada penyingkiran minggu pertama, 14 peserta tonjol kehebatan vokal
- Bintang RTM 2024 janji kelainan, pukau penonton
- Prelude Bintang RTM 2024, Sabtu ini di TV2
- Peserta Top 16 Bintang RTM 2024 mulakan saingan 30-31 Disember ini
- Bintang RTM kembali Januari ini di saluran TV2 dan RTMKlik
- Bintang RTM 2024 bakal membuka gelanggang pada Januari