KUALA LUMPUR, 24 September- Ujibakat Bintang RTM 2024 melabuhkan tirainya hari ini dengan pencarian bakat bagi Zon Tengah di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Ujibakat itu bermula di Pulau Pinang pada 5 dan 6 Ogos lalu, diikuti Johor (18,19 dan 20 Ogos) , Sabah (2 dan 3 September) dan Sarawak (9 dan 10 September).
Bagi Penerbit Bintang RTM 2024 Nur Ashidah Abdul Hamid yang ditemui pemberita berkata, "selepas ini kita akan memilih 30 yang terbaik daripada semua peserta yang telah diuji bakat.
"Kemudian mereka akan dibawa ke sebuah kem dan memilih 14 daripadanya untuk ke peringkat seterusnya. Manakala empat orang akan disingkirkan bagi memilih 10 terbaik untuk ke pentas Bintang RTM 2024. Ia akan berlangsung pada 6 Januari hingga 4 Februari 2024."
Menurut juri tetap Bintang RTM 2024 Juliza Adlizan, perjalanan program itu akan diteruskan dengan beberapa program khas bagi sesi latihan vokal serta pemilihan lagu sesuai untuk semua peserta.
"Semua peserta memang kita sudah nampak kelebihan masing-masing. Jadi di kem tersebut bakat mereka akan digilap bagi memastikan mereka memilih lagu yang sesuai dan bertepatan suara masing-masing," katanya ketika ditemui RTM di sini.
Selain Juliza Adlizan, LY atau Rozman Shafie dan Hadi Mawardi (Orkestra RTM) turut menjadi juri tetap dalam program berkenaan.
Sebelum ini ujibakat secara dalam talian turut diadakan pada 10 Julai sehingga 10 September bagi mencari peserta musim 2024.
Pertandingan berprestij di RTM itu juga telah melahirkan ramai penyanyi berkualiti dan popular dalam industri hiburan di Malaysia antaranya Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Azharina Azhar, Misha Omar, Ernie Zakrie dan ramai lagi.
(Juri tetap Bintang RTM 2024 Hadi Mawardi (kiri), Juliza Adlizan (tengah) dan LY)