(Taylor Swift (berdiri) dan ibu Travis Kelce (duduk berkaca mata) menonton
aksi perlawanan NFL semalam/AFP)
MIAMI, 25 September- Bintang pop popular, Taylor Swift mengukuhkan lagi khabar angin dirinya sedang bercinta dengan pemain bola sepak Amerika, Travis Kelce selepas dilihat bersama ibu lelaki itu pada aksi Liga Bolasepak Nasional (NFL), semalam.
Swift yang menghadiri perlawanan tuan rumah, Kansas City Chiefs menentang Chicago Bears berada di kawasan tempat duduk khas bersama ibu Travis Kelce, Donna.
Dia juga dirakam bersorak riang apabila 'kekasihnya' itu berjaya menangkap hantaran touchdown tiga ela daripada quarterback, Patrick Mahomes pada suku ketiga.
Terdahulu, ketua jurulatih, Andy Reid bergurau bahawa dia telah memperkenalkan pasangan itu.
"Saya pernah berjumpa dengannya sebelum ini -- saya yang mengaturkannya," katanya kepada pemberita.
Sehingga kini, kedua-duanya yang berumur 33 tahun masih belum mengulas secara rasmi atau mengumumkan percintaan itu.
Swift sedang berehat daripada jelajah dunia yang bermula pada Mac lalu dan akan bersambung semula pada November ini sehingga lewat tahun depan.
Sebuah dokumentari konsert, "Taylor Swift: The Eras Tour" dijadualkan untuk tayangan pada 13 Oktober ini. -AFP
(FOTO AFP)