
PERAK, 24 Julai – Kerajaan Perak menggariskan empat langkah segera bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan air yang menjejaskan kawasan sawah di luar jelapang padi Perak Tengah.
- Penyelarasan pelepasan air Empangan Temengor bersama TNB Genco untuk mengimbangi keperluan pengairan sawah dan bekalan air domestik.
- Cadangan pembinaan telaga tiub sebagai kaedah alternatif diteliti bersama MARDI, JMG dan JPS untuk atasi sawah kering.
- Penyediaan pam bergerak dan pemantauan berterusan sistem pengairan serta langkah kecemasan seperti pembenihan awan jika kritikal.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, langkah itu meliputi penyelarasan pelepasan air Empangan Temengor, cadangan pembinaan telaga tiub, penyediaan pam bergerak serta pemantauan berterusan sistem pengairan.
Menurut beliau, penyelarasan pelepasan air akan dilaksanakan bersama TNB Genco bagi memastikan keperluan pengairan sawah dan bekalan air domestik dapat diseimbangkan secara optimum.
Tiga kawasan yang terjejas ialah Teluk Bakong, Bota Kiri dan Kubang Haji.
Mengulas cadangan pembinaan telaga tiub, beliau berkata, usaha itu dilihat sebagai antara kaedah berkesan bagi menangani masalah sawah kering.
“Yang kedua tadi ada cadangan supaya mana-mana sawah yang kering tu boleh la kita buat galian tube well, maknanya kita buat artificial artesian well. Kalau yang itu boleh selesaikan masalah, Datuk Zul minta daripada pihak MARDI, JMG dan JPS keluarkan sedikit catatan sebab itu satu kaedah yang baik,” katanya
Beliau berkata selepas meninjau operasi Rumah Pam Teluk Bakong di Parit bersama Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Dalam pada itu, Mohammad Nizar memaklumkan cadangan pembinaan telaga tiub sebagai kaedah alternatif sedang diteliti dengan kerjasama agensi berkaitan seperti MARDI, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Tambahnya, sekiranya keadaan bertambah kritikal akibat fenomena El Nino, kerajaan negeri akan mempertimbangkan pelaksanaan operasi pembenihan awan berdasarkan syor Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Sementara itu, Datuk Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri akan meneliti bentuk bantuan bersesuaian kepada pesawah yang terjejas, selain mencadangkan penubuhan pasukan petugas khas bagi merangka penyelesaian jangka panjang.
Beliau turut menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyegerakan kajian bagi menjadikan kawasan luar jelapang Perak Tengah sebagai jelapang padi baharu, sekali gus memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara.