KUALA LUMPUR, 22 September - Album solo ke-20 berjudul Sitism merupakan karya istimewa Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Sitism menggambarkan diri penyanyi terkenal itu seiring peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan vokal yang dimiliki penyanyi itu.
"Alhamdulillah album ini saya sudah nantikan lama, kita telah tangguhkan banyak kali dengan pelbagai cabaran, dengan suara dan sebagainya. Setelah keluarnya album Sitism, maklum balas sangat bagus, rasa penat lelah itu berbaloi dengan komen yang positif," kata Siti.
Album Sitism bertambah istimewa apabila Siti mengundang penyanyi rock legenda, Datuk Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih.
Album Sitism yang mengandungi 12 lagu sehingga kini telah meraih 1.6 juta strim sejak dilancarkan sehingga pertengahan September ini.
Album terbitan Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. ini turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal.