fb fb fb fb fb

Konsert Siti Nurhaliza 9 Mac ini berbentuk amal, tiada penundaan

Siti Nurhaliza mengumumkan tiket konsert pada 9 Mac ini telah habis terjual dalam tempoh dua jam/IG @ctdk

KUALA LUMPUR, 18 Januari- "Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza" yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, pada 9 Mac depan akan diteruskan bagi tujuan mengutip dana menerusi badan amal, Yayasan Nurjiwa.

Yayasan Nurjiwa mengeluarkan kenyataan itu susulan gesaan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor agar menunda konsert solo berkenaan.

"Pertama sekali, Yayasan Nurjiwa secara khususnya dengan penuh keinsafan dan berlapang dada menerima gesaan dan teguran Sahibus Samahah Datuk Seri Mufti.

"Keprihatinan serta pandangan Datuk Seri amat-amat kami hormati dan hargai," jelasnya.

Bagaimanapun, pihak itu mengesahkan bahawa konsert terbabit akan diteruskan untuk kelangsungan aktiviti kebajikan yang meliputi lima kluster utama.

"Yayasan Nurjiwa dan (Datuk Seri) Siti Nurhaliza telah sering menyebut tujuan konsert adalah untuk mengutip dana bagi menampung lima kluster kerja-kerja kebajikan.

"(Lima kluster itu) kebajikan, kemanusiaan, keagamaan, pendidikan dan bantuan khas Palestin.

"Segala hasil kutipan tiket daripada konsert akan disalurkan ke lima-lima kluster berkenaan," katanya.

Tambahnya, sebarang penundaan akan memberikan implikasi besar kepada banyak pihak terutama produksi dan pengurusan Perbadanan Stadium Nasional.

"Jika mahu diawalkan (tarikh), sudah tentu tiada keupayaan memandangkan tiada slot kosong yang boleh diberikan oleh Perbadanan Stadium Nasional kepada kami," ujarnya.

Terdahulu, Siti Nurhaliza memaklumkan jika konsert dilewatkan seperti 10 Mac, ia sudah hampir Ramadan, manakala 8 Mac adalah hari terakhir raptai konsert terbabit diadakan.

"Bahkan, apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak dapat disalurkan dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin.

"Memahami matlamat dan objektif utama penganjuran Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza membuatkan kami mencapai keputusan secara konsensus untuk meneruskannya," tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, Yayasan Nurjiwa menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan terhadap kerja kebajikan dan kemanusiaan yang diusahakan pihaknya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA