fb fb fb fb fb

Bintang RTM kembali Januari ini di saluran TV2 dan RTMKlik

Program nyanyian mencari bakat-bakat baharu, Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2024 bakal bertemu penonton mulai Januari ini

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Selepas lima tahun tidak dianjurkan, Program Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) kembali lagi bermula Januari ini, dalam usaha melahirkan lebih ramai penyanyi pelapis berkualiti.

RTM dalam satu kenyataan menyebut, program yang dianjurkan sejak tahun 1959 itu akan disiarkan secara langsung di saluran TV2 dan RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my).

"Program Bintang RTM terbitan RTM, diterbitkan khas bagi mencungkil bakat-bakat peserta di dalam bidang nyanyian. Sejarah pertandingan ini bermula pada awal 1959 dan dikenali sebagai 'Bintang Radio' sebuah program anjuran Radio Malaya. Pertandingan Bintang Radio hanya mengetengahkan lagu-lagu yang berentak langgam, asli, keroncong dan seriosa.

"Pada tahun 1964, Bintang Radio telah memulakan siaran pertamanya di televisyen serta TV Malaya pula muncul untuk mencari bakat-bakat baru untuk pertandingan 'Bakat TV'.

"Bintang Radio dan Bakat TV menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada peminat seni tanah air saban tahun. Malaysian Book of Records juga pernah menamakan program ini sebagai pertandingan nyanyian paling lama bertahan dalam industri muzik Malaysia," menurut kenyataan itu.

Ramai nama-nama besar dalam industri seni hiburan berjaya dilahirkan menerusi program tersebut, seperti Dahlan Zainuddin, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Yunizar Hussein, Jamal Abdillah, Najib Hanif, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Safar Ghafar, Raisuddin Hamzah, Ramlah Ram, Jamilul Hayat, Noraniza Idris, Azian Mazwan Safuan dan Ayai Ilusi.

"Pada tahun 1973, istilah Bintang RTM mula digunakan apabila Bakat Radio dan Bakat TV diselaraskan serta digabungkan menjadi Bintang RTM. Bintang RTM menjadi acara tahunan sehingga tahun 1986," kata kenyataan itu lagi.

Kali terakhir Bintang RTM diadakan pada 2018 dengan menyaksikan Hariz yang dinobatkan sebagai juara.

Nasionalfm dipilih sebagai radio rasmi untuk BRTM 2024.

TAHUKAH ANDA?

  • Tahun 1977, Rosemaria Abdul Hamid merupakan salah satu penyanyi wanita yang terawal memenangi pertandingan ini.
  • Tahun 1979, Jamal Abdillah hanya berusia 20 tahun tetapi mampu dinobatkan juara mengalahkan enam penyanyi solo yang lain termasuklah finalis Najib Hanif.
  • Juara Bintang RTM 2007 iaitu Ray menyanyikan lagu-lagu ciptaan komposer-komposer terkenal seperti M. Nasir.
  • Juara BRTM 2009, Ernie Zakri merupakan peserta termuda dan mendendangkan lagu 'Kau Yang Istimewa' (nyanyian asal oleh Aishah) dan 'Cahaya' (nyanyian asal Krisdayanti).

TETITIA YUSOFF