KUALA LUMPUR, 23 Disember-Sebanyak 10 buah lagu daripada filem melayu era 50-an bakal dirakam semula secara digital menerusi projek Lagu Dari Seluloid.
Mac Training Centre Sdn Bhd dengan kerjasama Studio Funky Brigade mengambil inisiatif tersebut untuk memupuk rasa cinta terhadap irama Melayu Klasik dalam kalangan generasi muda.
Projek yang menerima dana sebanyak RM150,000 daripada Yayasan Hasanah itu melibatkan enam penyanyi lama dan baharu tanah air.
Ia juga bakal menjadi rujukan buat proses perkembangan muzik dan filem pada masa akan datang.
"Saya rasa ini satu sumbangan saya untuk memartabatkan lagu lama yang jarang kita dengar di radio. Saya harap bahan ini menjadi rujukan serta memberi nafas baharu pada lagu lama agar generasi baharu apabila mendengar, tidak berasa janggal," penyanyi, Asmidar Ahmad.
"Saya pun ada visi yang sama macam Asmidar katakan, antaranya kita dapat melestarikan karya yang tersimpan lama dalam arkib kalau kita tidak kenal pemula perintis, kita tidak tahu sejarah kesenian kita. Saya harap dengan projek ini, akan ramai anak muda mengambil tahu dan mendapat maklumat daripada projek ini," penyanyi, Aqasha.
Rakaman audio dan inti pati visual yang mengandungi kredit nama komposer, penulis lirik dan penyanyi terbabit akan ditayang di saluran YouTube Mac Training Centre Sdn Bhd pada 31 Disember nanti.