JOHOR BAHRU, 22 Disember - Pelakon dan Pelawak Veteran, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya diraikan dalam Majlis Apresiasi di Johor Bahru semalam sempena penerimaan Anugerah Kehormat Permata Dunia yang di adakan di Cyberjaya, Selangor pada 3 Disember lalu.
Terkenal dengan watak Mat Bond ketika aktif dalam bidang seni, beliau hadir bersama-sama anaknya untuk menerima anugerah dan sumbangan bernilai RM10,000 daripada Universiti Multimedia (MMU).
Mat Sentol yang mahu disapa sebagai Pak Mat terharu dan gembira dengan anugerah yang diberikan.
"Rasa terharu ada juga orang ingatkan Pak Mat, selain daripada itu rasa gembira, memang gembira dapat hadiah gembira la. Zaman dulu saya buat sendiri (lakonan). Ilham itu datang apabila saya tengok gambar-gambar orang lain dan saya cuba buat seperti itu, tetapi denga cara saya sendiri," kata Mat Sentol, di sini.
Sementara itu, Pro-Canselor MMU Tan Sri Academician Profesor Dr Zakri Abdul Hamid berkata, anugerah berkenaan diberikan atas sumbangan Mat Sentol terhadap industri perfileman tanah air.
"Mat Sentol ini seorang ikon juga harus dihargai oleh rakyat Malaysia, kita pasti beliau tidak berapa dikenali oleh generasi baharukan? Jadi warisan ini harus kita ketengahkan dan pengiktirafan ini merupakan satu usaha kita ke arah itu," kata Dr Zakri.
Setakat ini, anak Mat Sentol Roslee Rashid memaklumkan kesihatan bapanya berada dalam keadaan baik namun pergerakan sedikit terbatas disebabkan kondisinya lemah.
Beliau juga mengehadkan aktiviti melibatkan kawasan luar bagi menjaga kesihatan bapanya.
Sebelum ini, Mat Sentol tidak dapat hadir menerima anugerah semasa Majlis Konvokesyen MMU ke-24 di Cyberjaya, Selangor atas faktor kesihatan.
Mat Sentol mula terlibat dalam kerjaya lakonan sekitar tahun 1956 sebagai watak tambahan dalam filem Hang Tuah selain terkenal dengan kreativiti penggunaan kesan khas dalam penggambaran filem arahannya.
Antara filem beliau yang terkenal adalah Mat Bond, Mat Raja Kapor, Mat Magic dan Mat Tiga Suku.