fb fb fb fb fb

Bintang RTM 2024: Tiada penyingkiran minggu pertama, 14 peserta tonjol kehebatan vokal

14 peserta tonjol kehebatan vokal pada konsert minggu pertama Bintang RTM 2024

KUALA LUMPUR, 13 Januari - Program realiti Bintang RTM 2024 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mula membuka tirai selepas lima tahun tidak dianjurkan apabila seramai 14 peserta tampil menonjolkan kehebatan vokal masing-masing di pentas nyanyian itu malam ini di Auditorium Sri Angkasa.

Dihoskan oleh pengacara Awal Ashaari, acara persembahan nyanyian pada malam ini tidak melibatkan sebarang penyingkiran peserta.

Roziena Ixzy, 26, dipilih peserta terbaik bagi minggu pertama konsert Bintang RTM 2024.

Penerbit program, Yang Faziatun Zainal Abedin, berkata, kelainan Bintang RTM 2024 mengangkat format pertandingan yang berbeza dari pertandingan program realiti televisyen lain.

Katanya, Bintang RTM 2024 diberi kebebasan memilih sendiri genre dan lagu mengikut keselesaan masing-masing sepanjang tempoh minggu pertandingan.

"Keistimewaannya adalah program ini kita memberi kebebasan kepada peserta untuk mereka memilih sendiri lagu dan tak nak mereka tertekan apabila diberi lagu yang tidak boleh bawa daripada genre mereka.

"Jadi dengan kebebasan yang diberikan, terpulang kepada mereka untuk mereka kembangkan sendiri vokal mereka dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum berlangsungnya Konsert Suku Akhir Pertama Bintang RTM 2024 di Kota Media, Angkasapuri di sini hari ini.

Pada konsert minggu pertama malam ini, barisan juri tetap terdiri daripada LY, Datuk Syafinaz Selamat dan Raja Sham.

Sementara itu, Ernie Zakri juara Bintang RTM 2009 pula selaku juri jemputan pada malam ini menggamatkan lagi program itu apabila muncul sebagai pembukaan pentas dengan mendendangkan lagu yang berjudul 'Masing-Masing'.

Seramai 14 bakat muda berusia 15 tahun hingga 25 tahun dipilih menjadi finalis Bintang RTM 2024.

Mereka adalah Akma Natasha, 25; Muhammad Zulfeka, 23; Mohd Azumi Shazani, 26; Norzizi Safira, 22; Sharifah Nurilmuhayati, 26 dan Muhammad Hadi Hafsham, 21.

Turut bersaing, Muhammad Harris Mukhriz, 20; Muhammad Shahrezza, 22; Roziena Ixzy, 26; Mohd Enrien Syah, 24; Dayang Irsyadhania, 16; Mohammad Said Suhazrie, 21; Eylia Eyre Guntabid, 23 dan Nur Shahirah, 23.

Bintang RTM 2024 disiarkan TV2 setiap Sabtu pada 9 malam, mulai hari ini.

Siaran langsung juga boleh diikuti dengan melayari RTMKlik di www.rtmklik.rtm.gov.my dan radio rasmi adalah NASIONALfm.

Kesemua peserta bakal berentap merebut gelaran juara pada konsert akhir dijangka 24 Februari depan.

GRACE AISYAH KEDAYAN