KUALA LUMPUR, 15 Januari- Kumpulan Letto telah memberikan persembahan yang memuaskan pada Konsert Letto 20th Anniversary Live In Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hampir 10 tahun tidak mengadakan persembahan di Malaysia, Letto kekal dengan popularitinya di negara ini dengan lagu-lagunya.
Mereka turut diiringi sorakan dan tepukan gemuruh penonton terutama ketika melangkah ke pentas.
Vokalis Letto, Noe bersyukur dan berpuas hati dengan sambutan yang diberikan para peminat di Malaysia.
"Alhamdulilah tidak seperti yang kita sangka, saya sangat gembira membuat persembahan di sini. Ini merupakan pengalaman baru kami merasakan perbezaan setelah hampir 10 tahun tidak mengadakan konsert di Malaysia. Ia memuaskan berbanding di Indonesia kerana tempat dan peralatan audio yang lengkap serta canggih yang berbeza dengan negara kami," katanya kepada media selepas selesai konsert di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini.
Seramai tujuh orang pemain gamelan yang di bawa khas dari Yogyakarta mengiringi kumpulan Letto sepanjang konsert tersebut.
Antara lagu dibawa dalam konsert itu ialah Permintaan Hati, Ruang Rindu, Sandaran Hati dan Sebelum Cahaya.
Letto turut menyanyikan lagu dari tanah air seperti Suci dalam debu daripada kumpulan Iklim dan lagu Isabella daripada kumpulan Search.
Konsert itu turut menampilkan penyanyi tempatan yang meningkat naik, Dalia Farhana yang membuka pentas dengan dua lagu berjudul Rumah dan Langit Yang Sama.