fb fb fb fb fb

Peserta Top 16 Bintang RTM 2024 mulakan saingan 30-31 Disember ini

(Atas kiri) Nana, Jon, Dhania, Noy, Roxy Ixzy. (Tengah kiri) Harris, Joy, Hady Huv, Nuril, Eylia Guntabid, Erin Shahira. (Bawah kiri) Azumi, Feka, Shah Rezza, Akma Natasha, Liz

KUALA LUMPUR, 27 Disember- Seramai 16 peserta yang berjaya melayakkan diri dalam “Bintang RTM Top 16” akan memulakan saingan dan cabaran pada 30 dan 31 Disember ini.

Saksikan kemaraan keseluruhan tujuh peserta lelaki dan sembilan finalis wanita yang mewakili zon masing-masing menerusi siaran TV2, pukul 5.00 petang pada tarikh berkenaan.

Orang ramai juga boleh menonton 'pertarungan' berkenaan menerusi penstriman langsung RTMKlik di www.rtmklik.rtm.gov.my.

Menariknya setiap perkembangan dan info terkini boleh diikuti menerusi saluran NASIONALfm yang merupakan radio rasmi Bintang RTM (BRTM) 2024.

Persembahan sengit dijanjikan oleh peserta dari Pulau Pinang iaitu Akma Natasha, 24; Nuhammad Zulfeka (Feka), 22, Kuala Lumpur; Nurul Maimanah (Nana), 17, Melaka; Mohd Azumi Shazani (Azumi), 25, Kedah; Siti Erinshahira (Erin Shahira), 20, Melaka; Sharifah Nurilmuhayati (Nuril), 25, Kuala Lumpur dan Muhammad Hadi Hafsham (Hady Huv), 20, Kuala Lumpur.

Saingan turut diberikan peserta dari Kuching, Sarawak iaitu Muhammad Harris Mukhriz (Harris), 19; Muhammad Shahrezza (Shah Rezza), 21; dan Roziena Ixzy (Roxy Ixzy), 25, manakala seorang lagi peserta iaitu Elliza Suezina (Liz), 24, dari Bau, Sarawak.

Peserta paling ramai berasal dari Sabah iaitu Mohd Enrien Syah (Jon), 23, Semporna; Dayang Irsyadhania (Dhania), 15, Papar; Mohammad Said Suhazrie (Joy), 20, Sandakan; Eylia Eyre Guntabid (Eylia Guntabid), 21, Penampang; dan Nur Shahirah (Noy), 22, dari Kota Marudu.

Bintang RTM mengekalkan mekanisme pemilihan 80 peratus vokal dan 20 peratus persembahan dalam mencari bakat nyanyian di Malaysia.

"Memilih peserta yang memiliki ciri-ciri seperti kekuatan vokal yang mantap, mempunyai aura, penampilan dan personaliti bintang, Bintang RTM mengekalkan mekanisme pemilihan 80 peratus vokal dan selebihnya 20 peratus persembahan," katanya dalam kenyataan.

Pencarian itu bermula dari Zon Utara di Pulau Pinang pada 5 dan 6 Ogos lalu, Zon Selatan di Johor Bahru (18 hingga 20 Ogos), Zon Pantai Timur di Kuantan (26 dan 27 Ogos), Sabah di Kota Kinabalu (2 dan 3 September), Sarawak di Kuching (9 dan 10 September) dan lokasi terakhir melibatkan Zon Tengah yang diadakan di Kota Media Angkasapuri pada 23 dan 24 September lalu.

"Pertandingan nyanyian RTM telah melahirkan ramai nama-nama besar di dalam industri seni hiburan seperti Dahlan Zainuddin, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Yunizar Hussein, Jamal Abdillah, Najib Hanif, Rohana Jalil, dan Juliza Adlizan," tambahnya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA